
Zulfadzli Haron (duduk kanan) memberi penerangan kepada peserta yang menyertai bengkel reka cipta ZDA.
--------------------------------------------------------------------------------
Setelah berjaya menempa nama dalam bidang reka cipta di samping hasil inovasi selama hampir 20 tahun, syarikat Zull Design Autotronic (ZDA) kini beralih angin kepada usaha menyedarkan masyarakat dalam bidang kreativiti dan inovasi.
Berpegang kepada visi dan misi penubuhan syarikat, ZDA kini berusaha keras meluaskan program latihan terhadap anak muda tempatan.
ZDA turut menawarkan pelbagai kursus dan latihan yang lebih istimewa berbanding dengan kursus-kursus teknikal sebelum ini.
Kursus yang dibangunkan berdasarkan cara dan pemikiran masyarakat sesuai diikuti kerana konsep dan pendekatan yang telah dibuktikan berjaya berdasarkan kajian selama lebih 20 tahun.
Ia bukan sahaja bertujuan menanam minat dan menggalakkan mereka menceburkan diri dalam bidang perniagaan reka cipta malah mampu menjadikan bidang inovasi sebagai sebuah kerjaya.
Bercita-cita menjadi sebuah syarikat inovasi terulung negara, ZDA telah menghasilkan banyak ciptaan yang mampu diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
Pada awal penubuhannya, syarikat tersebut memulakan perniagaan dengan kerja-kerja membekal penghawa dingin dan pendawaian bas serta bimbingan teknikal kepada mekanik-mekanik bas milik syarikat MARA Holdings Sdn. Bhd.
Aktiviti penciptaan dan reka cipta bermula pada tahun 1986 dengan ciptaan awal sebuah kereta yang dipasang dengan sistem automasi dan boleh bergerak sendiri tanpa pemandu.
Produk ZDA mendapat perhatian Kerajaan
ZDA mula dikenali ramai apabila berjaya menghasilkan "LOT 2020" iaitu sebuah rumah pintar berkuasa solar dan mesra alam, sempena Hari Alam Sekitar pada tahun 1990 dan telah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong pada masa itu, Sultan Azlan Shah.
Lanjutan daripada kejayaan tersebut, syarikat itu menerima permintaan dan tempahan menggalakkan daripada pelbagai sektor, baik daripada segi pembuatan mahupun khidmat nasihat.
Kini pelbagai syarikat swasta mula memberikan penumpuan kepada ZDA untuk menghasilkan peralatan yang sukar didapati di negara ini.
Kebolehan syarikat tersebut mencipta peralatan dan mesin mengikut keperluan pengguna dengan kos yang murah beserta alat ganti dan kos penyelenggaraan tempatan yang rendah menjadikannya kini pilihan utama.
Menurut Pengarah Latihan ZDA, Zulfadzli Haron, walaupun ia kini boleh dianggap berjaya sebenarnya ia tidak dapat menampung permintaan serta keperluan negara.
"Hasrat kami adalah mahu melihat rakyat negara ini mengikuti jejak langkah ZDA agar Malaysia suatu hari nanti mampu mencapai cita-cita menjadi negara pengeluar dan tidak lagi hanya menjadi pengguna yang terlalu bergantung kepada negara luar," katanya.
Zulfadzli merupakan bekas guru dan menamatkan perkhidmatan sebagai kakitangan awam dengan jawatan terakhir sebagai Pegawai Kurikulum di Kementerian Pelajaran pada tahun 1995.
Kini, beliau meneruskan kerjaya sebagai Pengarah Latihan di ZDA yang mana pada ketika ini sibuk menjalankan latihan kreativiti dan reka cipta untuk pensyarah dan tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).
Menurut Zulfadzli, rakyat negara ini sebenarnya amat kreatif dan mempunyai daya pemikiran yang tajam dalam mereka bentuk sesuatu.
"Contohnya ramai di kalangan belia kini yang suka mengubah suai kenderaan mereka baik motosikal mahupun kereta agar menjadi lebih menarik dan berkuasa tinggi.
"Ia juga tergolong dalam reka cipta dan inovasi tetapi kadang kala ia digunakan untuk tujuan yang tidak tepat seperti berlumba dan akhirnya kemahiran mereka terbiar begitu sahaja.
"Jika diberikan panduan serta saluran yang betul tidak mustahil ia akan menjadi sesuatu yang berguna untuk negara," jelasnya.
Bagi ZDA, kreativiti seseorang itu boleh berkembang sekiranya mereka dapat memahami asas seterusnya mampu memikirkan jalan penyelesaian secara logik untuk mencipta sesuatu.
"Kita pada hari ini banyak yang menjadi burung kakak tua, hanya mengikut tanpa mengetahui mengapa. Kita hanya menghafal tetapi tidak tahu sebab asas dan mengapa kita perlu mengetahuinya.
"Ramai yang tidak mampu berfikir secara kreatif dan fleksibel dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan," katanya.
Sementara itu, ZDA turut menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti mereka bentuk mesin untuk kegunaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), mereka bentuk sistem automasi, mencipta 'gimmick' untuk majlis-majlis perasmian dan menyediakan kursus elektrik dan elektronik.
Lebih menarik, penciptaan peralatan mahupun mesin di ZDA adalah berdasarkan bajet serta kemampuan pengguna.
Justeru, ia merupakan sebuah syarikat yang memberikan perkhidmatan untuk membantu para usahawan dan pengguna bukan hanya memikirkan keuntungan semata-mata.
Apabila pelanggan bersetuju mengenai sesebuah reka bentuk dan harga, maka barulah pihak ZDA memulakan kerja-kerja pembuatan dan menyiapkannya dalam jangka masa yang telah ditetapkan.