Sketsa (untuk renungan sahaja)
--------------------------------------
--------------------------------------
(Foto Hiasan semata-mata)
Suatu hari, baru sahaja habis Pok Nik makan tengahari, seorang tua bertongkat mendekati Pok Nik. (Pok Nik namakannya sebagai "Orang Tua Misteri - (OTM)" Pada mulanya Pok Nik menyangka OTM itu peminta sedekah. Tiba-tiba datang OTM dan mengucapkan salam kepada Pok Nik lalu meminta izin untuk duduk di meja yang sama. Bau minyak atar kasturinya semerbak. Memakai jubah unggu baldu. Lalu Pok Nik memperlawanya makan tetapi dia tersenyum dan menolaknya dengan baik.
OTM : "Tuan, ada berapa jenis takdir?" (Selamba bertanyakan Pok Nik)
(tersentak lalu Pok Nik selamba menjawabnya)
Pok Nik : "Ada dua"
OTM : "Apa dia?"
Pok Nik: "Mubram dan Mualak"
OTM : "Bezanya?"
Pok Nik : "Yang Mubram telah tetap - maut, jodoh, rezeki dan yang berkaitan dengannya.
Yang Mualak boleh berubah - asbab syariatnya - antara lain - teguh cita-cita, usaha ikhtiar dan rangkaian doa serta tawakkal"
OTM : "Tuan cakap tadi 'maut adalah (takdir) Mubram?"
Pok Nik : "Ya"
OTM : "Bagaimana jika seseorang itu 'mati hidup semula'?"
Pok Nik : "Itu Takdir/Qada Mualak"
OTM : "Mengapa pula? Tadi tuan cakap 'maut adalah takdir 'mubram'?"
Pok Nik : "Benar Syeikh, tetapi orang yang mati, TIDAK AKAN KEMBALI LAGI - jika dia kembali juga, maknanya istilah 'maut hakiki' tidak boleh diletakkan ke atasnya"
OTM : (tersenyum) "Jadi apa sebenarnya keadaan manusia ini?"
Pok Nik : "Dia diistilahkan sebagai 'pengsan'. Masuk golongan 'hilang ingatan, majnun' - macam orang kena sampuk dan rasuk atau tertidur sehingga lalai menunaikan solat.."
OTM : (tersenyum lagi) "Makanya jika dia 'pengsan' - atau digali kembali kuburnya setelah dipastikan masih hidup rupanya, atau semasa hendak menyemadikannya, tiba-tiba dia bangun? Apa yang perlu dilakukan?"
Pok Nik : "Pertama, dipastikan dahulu itu bukan perbuatan syaitan - maka kena ada yang arif mengenainya. Jika sudah dipastikan dia wajib mandi hadas - kerana dikira pengsan - sudah masuk golongan yang 'tidak sedarkan diri', atau 'lupa'
OTM : "Tadi dia kan dimandikan tadi?" (mandi mayat)
Pok Nik : "Itu sebab dia disangka mati, maka taklif syaraknya sudah dianggap tiada lagi. Tiba-tiba dia 'hidup kembali' - maka kena kembalilah menanggung 'balik' taklif syaraknya - sebab 'masih hidup'.
Sebaiknya, dia mengucap selepas mandi hadas dan berwudhuk. Selepas mengucap dua kalimah syahadah maka dia wajib tanggung kembali 'taklif syarak' ke atas dirinya - jika ada solatnya yang tertinggal, dia kena qadha, jika dia hidup balik pada bulan puasa - maka wajib diqadha puasanya"
OTM : "Alhamdulillah - tauhid, feqah dan tasaufmu sangat seimbang - inilah yang kita mahu"
Pok Nik : "eeh, saya tak reti apa Syeikh"
Cuma termenung sebentar setelah dia menyebut "kita". Lalu dia bangun, berjabat salam, memeluk Pok Nik malah membayar makan dan minum Pok Nik dan beredar. Sesetengahnya pelanggan yang berkebetulan makan di situ adalah jemaah dari masjid yang berdekatan - menoleh ke arah OTM yang berjalan perlahan-lahan ke lorong berdekatan. Pelanggan kedai yang lain malah penjual makanan juga kelihatan terpinga-pinga - rupanya ada di antara mereka sedang khusyuk mendengar dialog Pok Nik dengan OTM. Lalu ada yang bangun mendekati Pok Nik. "Tuan ni Ustaz ke?"
Pok Nik : "Hissshh..mana ada tuan - orang tu tanya soalan, maka saya jawablah - setakat saya mampu - orang tua tu lah yang sepatutnya tuan tanya - bukan saya..."
"Hebat jawapan tuan, kami ni AJK masjid pun belum tentu boleh menjawab soalan itu."
Pok Nik : "Itu hal qadha - qadar tuan - Asas. Juga salah satu Tonggak Rukun Iman, wajib kita imani dan ketahui"
Mereka terdiam dan bertanya "Tuan ni siapa sebenarnya?"
Pok Nik dengan yakinnya menjawab : "Saya adalah seorang Perunding Pengurusan'
lalu tergelak kecil memerhatikan reaksi mereka. Semuanya terdiam sebab Pok Nik memakai baju kemeja dan seluar 'slacks'. Mungkin ada yang menyangka Pok Nik seorang 'ustaz' tetapi tidak pula berjubah dan berserban. Pok Nik hanya senyum - cepat-cepat bangun dan beredar dari situ. Ada yang mengejar Pok Nik nak minta no. telefon, tetapi Pok Nik mengangkat tangan sahaja terus ke kereta. "Lain kali ye..InsyaAllah"
Sampai sekarang pun Pok Nik takut nak pergi makan di situ. Bukan sahaja bimbang OTM tu datang lagi bertanya soalan yang 'tinggi-tinggi' tetapi bimbangkan orang sekitar menganggap Pok Nik ni 'orang pelik'....
(InsyaAllah, di lain masa, Pok Nik akan kongsikan lagi kisah-kisah ini - diharap sahabat-sahabat sudi mendengarnya)
