Assalamualaikum Poknik,
Saya ingin mendapatkan penjelasan berkaitan akad jual beli, seperti yang saya faham, akad jual beli berlaku apabila penjual menyerahkan barang jualan kepada pembeli dengan berkata "saya jual barang ini" dan pada masa yang sama pembeli pula menyerahkan wang dengan berkata "saya beli brg ini". Ini yang biasa dipraktikkan terutamanya di kedai runcit.
Persoalan saya, adakah ini menepati kehendak hukum? Dan bagaimana pula akad jual beli dilakukan dalam perniagaan yang komplek seperti kontrak pembinaan, kontrak pembekalan barangan, dan sebagainya
Ada tak bentuk perniagaan yang halal yang yang tidak boleh dilakukan akad jual beli?
Kalau boleh Poknik tolong perjelaskan berkenaan rukun, syarat sah serta perkara lain berkaitan akad jual beli secara mudah, untuk memudahkan kefahaman saya
Terima kasih
Jawapan
Salam saudara, jawapan Pok Nik adalah bertaraf orang awam dan bukan ulama.
Sememangnya, dalam apa yang kita lakukan hari ini, kalau nak dikira dalam konteks muamalah, masih banyak yang perlu diperbaiki. Apapun, kita buat yang paling dekat, kalau nak 100% betul pada zaman ini, amatlah sukar sekali.
Dalam aqad apa yang terpenting ialah keredhaan 2 belah pihak dalam jual dan beli serta ianya bergantung atas apa jenis perniagaan yang diperkatakan di sini – samada pembekalan khidmat pembinaan sivil, Mechanical and Electrical dsb, atau pembekalan produk (sebagai supplier) atau penjualan produk secara runcit, insuran dan sebagainya.
Secara dasarnya, 3 rukun utama perlu diperhatikan – wujudnya penjual dan pembeli (atau pembekal/klien) yang waras fikiran, produk (atau perkhidmatan) yang harus atau halal diniagakan (Ma’ kud Alaih) dan ijab kabul. Selain itu, hukumnya harus dan mestilah didasarkan kepada pemuafakatan – persetujuan bersama/dua-pihak (based on mutual consent) – namun ijab dan kabul tidak semestinya memerlukan pernyataan lisan.
Sabda Rasulullah SAW : “Sesungguhnya jual beli itu sah jika suka sama suka.”
Sabda baginda lagi : “Dua orang yang melakukan jual beli boleh memilih meneruskan jual beli atau tidak jika kedua-duanya belum berpisah daripada tempat akad.”
Tetapi Pok Nik perlu utarakan satu lagi Sabda Rasulullah SAW yang mungkin ramai peniaga/usahawan tidak perasan :
“Wahai Rasulullah, seseorang datang kepadaku. Dia ingin membeli sesuatu dariku, sementara barang yang dicari tidak ada padaku.
Kemudian aku pergi ke pasar dan membeli barang itu.”
Rasulullah SAW bersabda:
“Jangan menjual sesuatu yang tidak ada padamu.” (HR. Tirmidzi)
Namun, Pok Nik ada merujuk kepada mereka yang faham tentang perkara ini. Kesimpulannya ialah, kita perlu pergi membeli dahulu barangan tersebut, pastikan kita cukup stok dsb, barulah kita menawarkan barangan tersebut dan bukan sebaliknya. Secara ringkasnya :
1. Produk tersebut mestilah dapat dihantar ketika berlaku akad jual beli
2. Masa dan lokasi penghantaran produk telah ditetapkan
3. Produk tersebut telah ditentukan jenis dan kuantitinya
Dengan kata lain, ianya juga berlaku dalam bentuk apa yang kita kenali kini sebagai Purchase Order, Delivery Order dan Agreement. (ingat, yang penting ialah pemuafakatan/keredhaan)
Masalah yang saudara utarakan ialah kemungkinan percampuran dengan unsur riba yang mungkin disembunyikan dalam istilah tertentu. Dari itu, jika kita mengharuskan amalan muamalah dengan aqad yang dinisbahkan kepada faedah – samalah seperti kita menghalalkan yang haram. Ini adalah dasarnya.
Walaupun begitu, Pok Nik bukanlah pakar dalam bidang muamalah cuma spt. Yang dinyatakan di atas, nak dapat 100% betul cara aqad – sememangnya sukar pada zaman sekarang.
Kalau kita ada syak, zhan dan waham dalam sesuatu urusan, perkara utama ialah merujuk kepada ulama yang mahir dalam bidang ini kerana mungkin was-was kita itu kerana kita kedhaifan ilmu.
Tetapi kita sebagai usahawan dan peniaga perlu pula bertanya kepada diri kita, apabila kita perlukan rangkaian perniagaan untuk menjayakan kerja-kerja yang kita jalankan, tentunya kita pasti tidak boleh lari dari mengelak membuat pinjaman atau akad jual beli (perjanjian/agreement) yang mungkin membabitkan yang terbaik bagi kita umpamanya tawarruk, Bai Bi thaman ajil, Bay-inah, murabahah dan sebagainya. Walaupun ada yang masih mempersoalkan Bay-inah kerana mungkin didasarkan kepada hadis tersebut :
Sabda Rasulullah SAW :
“Jika kamu melakukan jual beli dengan cara ‘inah, dan kamu telah memegang ekor sapi, dan kamu rela dengan bercucuk tanam, Allah akan menimpakan kehinaan kepada kalian. Allah tidak akan mengangkatnya sampai kamu kembali kepada agama kamu.” (Abu Daud)
Suka Pok Nik memetik kenyataan yang sangat popular di kalangan mereka yang memberikan penerangan dalam konteks Bay-inah - dari bahan Bank Negara Malaysia
Bai’ ‘inah concept is used in Malaysian Islamic banking system and capital market to facilitate the needs of market players when Islamic financial industry was first pioneered in the country. Even though the majority of Shariah scholars disallow this concept, some of them are of the opinion that it is acceptable as long as all the pillars and conditions of the contract are complied with. Based on this opinion, bai’ ‘inah concept is accepted to be practiced in Malaysia to ensure that Islamic finance is as competitive as its conventional counterpart. Among others, this concept is applied in money market transaction, bond issuance, debt securitization and credit card facility.
Imam Shafie menyatakan:
Bai’ ‘Inah merujuk kepada penjualan sesuatu aset, yang kemudiannya dibeli kembali dengan harga yang berbeza, yang mana penjualan secara tertangguh itu adalah lebih tinggi dari harga tunai (spot)
Dan bai’ ‘inah ini dipersetujui oleh Imam Shafie, Abu Yusuf dan juga sebahagian ulama dalam mazhab Shafie.
Kes ini boleh dilihat dalam konteks penggunaan instrumen pasaran kewangan dan kad kredit.
Apa yang dilarang oleh Rasulullah sebenarnya adalah merujuk kepada keadaan demikian :
Kita menjual barangan kepada seseorang secara bertempoh, kemudian kita beli balik barangan tersebut dengan harga yang lebih murah (dari pembeli) – akhirnya kita meminta pembeli membayar penuh sebagaimana asal harga jualan.
Sepanjang pengetahuan Pok Nik yang masih belajar dalam bidang muamalah ini - mungkin ada silap - kita sebagai penjual tidak boleh membeli kembali barangan tersebut pada harga yang lebih murah dan akhirnya meminta bayaran penuh sebagaimana asal jualan (ini ada unsur spekulasi sebenarnya - jelas ada unsur penipuan dan riba) sebaliknya kita mesti memberikan peluang kepada pembeli untuk menjualnya kepada orang lain.
Pok Nik tidak mahu menyentuh contohnya dengan harapan saudara dan pembaca carilah sendiri contoh perniagaan inah yang diharamkan (jelas terdapat unsur riba) tetapi masih berlaku dalam institusi perbankan dan kewangan (terutamanya money market) - no comments :-)
Selain itu, jual beli cara najasy juga dilarang oleh Rasulullah SAW. (najasy ada kaitan dengan inah di atas - bergantung atas apa jenis perniagaan yang kita bincangkan) contohnya dalam transaksi perniagaan - ada tawaran ke atas produk pada harga tertentu tetapi ada seseorang menaikkan harga tawarannya - walhal dia tidak berminat untuk membeli tetapi ingin menarik perhatian/memancing pengunjung lainnya dengan niat menipu para pembeli (juga berkaitan dengan spekulasi saham dsb)
Sepatutnya biarlah pembeli yang tawar menawar dengan penjual. Najasy juga berlaku dalam keadaan berikut :
Penjual menyatakan "tolonglah saya, saya beli harga (atau harga modal) produk ini dengan harga 'x' jadi saya 'untung' dengan menjual harga 'x' " walhal dia berbohong kerana mahukan pembeli membelinya dengan harga tinggi.
Akhirnya ada satu lagi aqad yang diharamkan iaitu 'aqad atas aqad' maksudnya jual beli di atas akad saudaranya.
Sabda Rasulullah SAW :
“Janganlah sebahagian di antara kamu berjualan di atas jualan sebahagian.”
Contohnya, seseorang mencari satu produk dan dia membelinya dari seorang penjual. Kemudian dalam tempoh 2-3 hari atau lebih, penjual memberikan hak memilih kepada pembeli samada jadi ataupun tidak. Dalam tempoh ini, tidak boleh ada penjual lain yang masuk (undercut atau potong trip kata orang Melayu) dan menyatakan kepada si pembeli tadi “tak payahlah awak beli barang ini, kerana saya membeli produk yang lebih baik dan harga lebih murah" - perkara ini adalah haram. Melainkan memang si pembeli tidak jadi membeli, maka bolehlah kita menawarkan kepadanya pula.
Ataupun jika pembeli belum membuat sebarang keputusan dalam tempoh yang ditetapkan, tiba-tiba kita berminat untuk membeli barangan tersebut, dan kita berjumpa penjual dan menyatakan bahawa kita akan membeli barangan tersebut dengan harga yang lebih tinggi. Ini juga diharamkan.
Dan dua keadaan di atas banyak berlaku di kalangan usahawan dan peniaga Muslim hari ini - MasyaAllah...sanggup kita menipu sahabat dan saudara kita sendiri - 'tikam belakang' - renung-renungkanlah dan rujuklah pada ulama yang lebih mahir untuk pengesahan.
Wallahu'alam bisawwab